Saidina Umar al-Khattab (Arab, عمر بن
الخطاب) (c. 581 - November, 644),
kadang-kadang dipanggil juga sebagai Umar al-Farooq ataupun Omar atau Umar
ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan Bani Adi Quraisy. Beliau
menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644 Masihi) bersamaan 22 Jamadilakhir
tahun 13 Hijrah dan merupakan salah seorang Khulafa al-Rasyidin.
KEHIDUPAN AWAL
Saidina Umar dilahirkan di
Makkah. Bapanya bernama Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan
terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Sewaktu kecilnya beliau pernah
mengembala kambing dan pada zaman dewasanya beliau berniaga dengan
berulang-alik ke Syam membawa barang dagangan. Beliau juga berilmu, perkara
yang amat jarang berlaku pada masa tersebut, dan juga merupakan seorang pejuang
dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.
RINGKASAN
Saidina Umar bin al-Khattab telah
mendapat hidayat Islam pada tahun ke-6 kenabian ketika berumur 39 tahun. Beliau
memeluk Islam setelah mendengar adik perempuannya membaca ayat-ayat al-Quran .
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani bahawa Rasulullah s.a.w
juga pernah berdoa: Ya Allah , kuatkanlah Islam dengan Umar. Sebuah hadis
daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda : Apabila Umar memeluk Islam, Jibrail pun datang dan berkata : Ya
Muhammad , sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan Islamnya Umar
MEMELUK ISLAM
Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula
menyebarkan Islam secara terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran
tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat
menentang Islam pada masa itu.
Menurut ahli sejarah Islam,
semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah s.a.w., beliau
bertembung dengan rakannya Nu'aim bin 'Abdullah yang mengatakan bahawa beliau
haruslah membetulkan adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah
memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah
adiknya serta suaminya dan mendapati mereka berdua dan Khabbab bin 'Aratt
sedang membaca al-Quran daripada Surah Taha. Dalam keadaan yang marah dan
kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta
maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada
adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat al-Quran yang begitu
indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga.
Selepas peristiwa terbabit,
beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Zulhijjah tahun keenam kenabian.
SAIDINA UMAR DI
MADINAH
Saidina umar merupakan antara
individu yang berhijrah ke Yathrib (kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Dia
merupakan salah seorang daripada Sahabat Rasulullah s.a.w..
Pada tahun 625 M, anak perempuan
Saidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.
KEWAFATAN NABI
MUHAMMAD S.A.W.
Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada
tahun 632 Masihi. Saidina Umar dikatakan amat sedih dengan kewafatan Rasulullah
s.a.w. sehinggakan beliau sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan
bahawa Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas
Saidina Abu Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang
menyembah Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang
menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan
mati." Saidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al Quran
untuk mententeramkan umat Islam.
Saidina Abu Bakar dengan sokongan
Saidina Umar menjadi khalifah pertama umat Islam. Semasa pemerintahan singkat
Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina
Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya
pada tahun 634 M. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.
PEMERINTAHAN SAIDINA
UMAR
Semasa pemerintahan Saidina Umar,
empayar Islam berkembang dengan pesat; orang Islam menawan Mesopotamia dan
sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar
Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada
Byzantine (Rom Timur). Ada di antara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan
tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang
berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120,000
orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.
Pada tahun 637 Masihi, selepas
pengepungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota
tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Patriarch Sophronius menyerahkan
kunci kota itu kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya
bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy
Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak berapa
jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja
tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid
yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.
Saidina Umar banyak melakukan
reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran
baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang
berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra♙ dan Kufah dibina.
Saidina Umar juga amat dikenali
kerana kehidupannya yang sederhana.
PEMBAHARUAN DALAM BIDANG
PENTADBIRAN.
MEMBENTUK MAJLIS
SYURA.
Khalifah Umar telah membentuk
satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi.
Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi
ialah terdiri daripada Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Tsabit,
Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas dan Mu'az bin Jabal. Semua pekara yang
melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan
bersama-sama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab
menentukan polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.
Melalui amalan sistem syura,
Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku dalam semua
segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada
semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan
keadilan Islam, Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu
memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.
MEMBAHAGIKAN
WILAYAH-WILAYAH ISLAM.
Perkembangan Islam yang semakin
luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan kepada
pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini,
Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada
beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan
beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik
hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat
laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai
yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya Muawiyah bin Abu
Sufyan, Amru bin al-Ass, Al Mughirah bin Syu’bah dan Zaid bin Sumyah.
Sebelum seorang Gabenor itu dilantik,
mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima
rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi
menjamin keadilan dan kesucian Islam.
MEMPERBAHARUI
UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN TANAH.
Perluasan kuasa Islam menuntut
kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di
Mesir, Syam dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik
kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk
membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar juga
menetapkan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas
tetapi ianya akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari
negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali
melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana
tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.
PEMBAHARUAN DALAM
BIDANG EKONOMI.
Banyak pembaharuan yang dilakukan
oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut
kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan
mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan
tidak adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada
golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang
dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum
pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap
dan perbendaharan negara bertambah. Beliau juga turut memajukan sistem
pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan,
yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi
hasil pertanian.
PEMBAHARUAN DALAM
BIDANG SOSIAL.
Melakukan
polisi baru untuk golongan Dzimmi.
Khalifah Umar telah mengadakan
cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan
kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah
Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basrah
supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan ke atas mereka tidak
membebankan.
Taraf dan hak awam diberikan sama
rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih
menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak
akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang
akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.
Memperbaharui
taraf kedudukan hamba.
Golongan hamba pada masa itu
telah diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi
dihina dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa,
kecuali bagi orang-orang yang benar-benar menentang Islam dalam peperangan. Umar
menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual
sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang
berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga
disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak
menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh
Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang
pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.
Menggalakkan
kegiatan keilmuan dan pelajaran.
Pelbagai langkah telah dilakukan
oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Qur'an. Beliau menyediakan
guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke
serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan.
Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di
seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu
didalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti
surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan
diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal
kandungan al-Quran.
PEMBAHARUAN DALAM
BIDANG EKONOMI.
Memajukan
sistem pertanian.
Khalifah Umar telah mewujudkan
terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti
Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah
sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan
Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dajlah (Tigris) dengan bandar Basrah.
Tanah juga telah dikaji selidik
bagi menempatkan tanam-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakan untuk
membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak
dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di
dalamnya. Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi
menambahkan pendapatan negara.
Kemarau
dan kebuluran yang panjang
Pada tahun 638, Tanah Arab
mengalami kemarau dan diikuti dengan kebuluran. Kebanyakan kaum Badwi mula mati
akibat kelaparan dan wabak. Lama kelamaan, rizab makanan di Madinah pula
semakin berkurangan, dan Umar mengutus surat kepada gabenor di Syria, Palestin,
dan Iraq untuk menghulurkan bantuan. Keadaan darurat diumumkan di Madinah dan
Semenanjung Tanah Arab. Gabenor yang pertama menyahut seruan itu ialah Abu
Ubaidah al-Jarrah, gabenor Syria yang juga merupakan panglima tentera ketika
itu. Beliau membalas dengan satu surat yang tertulis:
Saya menghantar buatmu kafilah
yang satu hujungnya di Syria dan satu lagi di Madinah.
Kemudian, Abu Ubaidah sendiri
turun melawat Madinah dan bertindak sebagai pegawai pengurusan bencana yang
diketuai sendiri oleh Umar. Sebaik sahaja bekalan catuan mencukupi di Madinah,
Umar mengerahkan orangnya untuk ke laluan Iraq, Palestin, dan Syria agar
bekalan yang lain dihantar ke kawasan pedalaman Arab yang kemudiannya
menyelamatkan jutaan nyawa daripada kebuluran. Bagi pelarian yang memohon
perlindungan di Madinah pula, umar mengadakan makan malam setiap hari dan
dianggarkan lebih dari seratus ribu rakyat yang hadir untuk menumpang makan.[5]
Menjelang awal tahun 639, keadaan semakin pulih. Tanah Arab mula menerima hujan
dan Umar sendiri menyelia perpindahan semula pelarian. Mereka diberikan catuan
makanan yang mencukupi dan dikecualikan daripada zakat untuk tahun tersebut dan
tahun seterusnya.
WAFATNYA SAIDINA
UMAR
Makam khalifah Umar, di Masjid
al-Nabawi, Madinah. Tingkap pertama dari kanan memberikan pandangan makam Umar.
Pada tahun 644, Umar dibunuh oleh
seorang Parsi sebagai tindak balas dari Penaklukan Islam ke atas Parsi.[6]
Pembunuhan tersebut dirancang beberapa bulan sebelumnya. Pada Oktober 644, Umar
menunaikan Haji di Makkah, waktu pembunuh tersebut menyatakan kematian Umar
pada tahun tersebut, dan menggunakan jemaah yang ramai sebagai penghadang
kepada para konspirasi ini untuk bersebunyi. Diriwayatkan apabila Umar berdiri
di Bukit Arafah, beliau mendengar suara berkata:
"Wahai Khalifah, tidak akan
lagi kamu berdiri di atas Bukit Arafah".
Sahabat Umar, Jubayr bin Mut'im
dilaporkan berkata:
Kami lihat seorang lelaki berdiri
di atas bukit dan berkata 'Sesungguhnya ini adalah Haji terakhir buat Umar. Dia
tidak akan datang ke sini lagi.'
Ketika salah satu ibadah Haji,
iaitu melontar Jamrah, seseorang membaling batu kepada Umar sehingga melukakan
kepala beliau, dan satu suara didengari mengatakan yang Umar tidak akan
menunaikan Haji lagi.
Seorang hamba berbangsa Parsi,
Piruz Nahavandi (juga dikenali sebagai Abu Lu'lu'ah), membawa rungutan kepada
Umar tentang cukai tinggi yang dikenakannya oleh tuannya Mughirah. Umar menulis
kepada Mughirah dan bertanya tentang cukai tersebut; jawapan Mughirah memuaskan
hati, tetapi Umar menegaskan bahawa cukai yang dikenakan daripada Abu Lu'lu'ah
adalah berpatutan, disebabkan pendapatan hariannya. Umar kemudian dilaporkan
meminta kepada Abu Lu'lu'ah: "Saya mendegar yang kamu membuat kincir
angin; buatkan untuk saya satu." Dalam keadaan merengus, Piruz menjawab,
"Sesungguhnya aku akan buatkan kincir untuk kamu, biar satu dunia ingat
akannya".
Piruzlah yang ditugaskan dengan
misi membunuh Umar. Menurut rancangan, sebelum solat Subuh berlangsung, Piruz
akan memasuki Masjid al-Nabawi, masjid utama di Madinah yang solat tersebut
akan diketuai atau diimam oleh Umar dan dia akan menyerang Umar semasa sedang
bersolat, kemudian lari atau bersembunyi di kalangan jemaah masjid.
Pada 31 Oktober 644, Piruz
menyerang Umar ketika beliau sedang mengimamkan sembahyang Subuh, menikamnya
sebanyak enam kali di perut dan akhir sekali di pusat, yang menyebabkan maut.
Umar dibiarkan berdarah ketika Piruz cuba melarikan diri, tetapi orang
disekeliling dengan segera menangkapnya; dalam usahanya untuk melarikan diri,
dikhabarkan dia mencederakan dua belas orang lain, enam atau sembilan orang
daripadanya meninggal dunia, sebelum dia mengelar dirinya sendiri untuk
membunuh diri.
Umar wafat pada tiga hari
kemudian pada hari Rabu, 3 November 644 (26 ZūlḤijjah 23H) disebabkan luka yang
sangat teruk. Umar dilaporkan meninggalkan pesanan berikut:
Berbuat baik dan bermurah hatilah
kepada Muhajirin dan Ansar. Siapa antara mereka yang berbuat baik, berbuat baik
jugalah kepada mereka; siapa antara mereka yang berbuat silap, abaikan kesilapan
mereka. Berbuat baiklah juga kepada rakyat di kawasan yang ditakluk. Mereka
berada di barisan paling hujung dalam pertahanan kita; merekalah sasaran
kemarahan dan tekanan musuh kita. Mereka menyumbang kepada pendapatan kita.
Mereka hanya perlu dicukai jika terdapat lebihan harta. Berilah belas ihsan
kepada kaum Badwi kerana merekalah tulang belakang negara Arab. Saya
mengarahkan kamu untuk berbuat baik kepada kaum Dzimmi kerana mereka adalah
tanggungjawab kamu.
Jangan kenakan cukai kepada
mereka melebihi dari kemampuan mereka. Pastikan yang mereka membayar Jizyah
tanpa sebarang kesukaran. Takutlah kepada Allah, dan apa yang kamu lakukan
pastikan dalam keredhaan-Nya. Dalam urusan dengan manusia, takutilah Allah, dan
dalam urusan dengan Allah janganlah takut dengan manusia.
Berkenaan soal rakyat, saya
menggesa kamu untuk memastikan keadilan terjaga. Pastikan hak semua orang
dipenuhi. Beri perhatian kepada kebajikan mereka. Peliharalah keselamatan diri
dan harta mereka. Pastikan perbatasan negara tidak dilanggar. Ambil langkah
yang kuat untuk menjaga sempadan. Berkenaan soal pentadbiran, janganlah
melebihkan yang kaya dari yang miskin. Berkeraslah pada siapa yang melanggar
hukum. Jangan tunjukkan belas kasihan. Jangan berehat sehingga kamu membawa
penjahat ke pengadilan. Layani semua orang sama rata. Jadilah tunggak kekuatan
bagi mereka yang lemah dan ditindas. Mereka yang kuat tetapi berbuat salah,
pastikan mereka mendapat balasan atas kesalahan yang dilakukannya.
Bagi urusan harta rampasan dan
lain lagi, hindarilah berat sebelah kepada keluarga sendiri. Jangan jadikan
sentimen perhubungan atau kepentingan diri mempengaruhi kamu. Syaitan itu
berleluasa; dia akan menggoda kamu. Atasi semua godaan dan lakukan tugas kamu
menurut apa yang diperintahkan Islam. Cari panduan daripada Quran dan Sunnah.
Mintalah nasihat dari mereka yang bijak di kalangan kamu. Gunakan akal dalam
mengendalikan hal yang sukar, dan pohonlah bantuan daripada Tuhan.
Bersederhanalah dalam cara hidup dan tabiat kamu. Jangan ada riak dan kesombongan
pada diri kamu.
Terajuilah hidup sebagai orang
Islam yang dicontohi. Memandangkan kamu pemimpin orang Islam, wajari kepimpinan
kamu dengan menjadi yang terbaik dari kalangan semua. Semoga Allah merahmati
kamu.
Atas permintaan Umar, beliau
dimakam di Masjid al-Nabawi bersama Nabi Muhammad S.A.W dan khalifah Abu Bakar
atas keizinan Aisyah.
Saidina Uthman bin Affan dilantik
menjadi khalifah oleh suatu majlis syura selepas kewafatan Umar.
RUPA FIZIKAL
Umar mempunyai badan yang kuat,
tegap dan bagus dalam bergusti. Beliau dikatakan pernah menyertai pertandingan
gusti ketika berlangsungnya pasar tahunan di Ukaz.
Dari sumber perdana menyatakan yang Umar
mempunyai penampilan yang bertenaga, badan yang sangat tinggi dan tegap, di
pasar beliau menonol dari kalangan orang ramai seperti menara. Bahagian depan
kepala beliau botak, sentiasa A'sara Yusran (bekerja dengan dua tangannya),
kedua-dua mata beliau hitam, dengan kulit kekuningan, walau bagaimanapun, ibn
Sa'ad di dalam bukunya menyatakan yang beliau tidak tahu yang Umar mempunyai
kulit kuning kecuali jika seseorang mengambil keadaan ketika zaman beliau hanya
memakan minyak (akibat kemarau panjang).
Ada juga sumber menyatakan beliau
mempunyai kulit putih kemerahan. Gigi beliau adalah ashnabul asnan (sangat
putih berkilat). Belau sentiasa mewarnakan jambangnya dan menjaga rambutnya
degan sejenis tumbuhan.
Sejarahwan Islam Ibn Saad dan
Al-Hakim mencatatkan perihal Umar yang menyatakan bahawa Abu Miriam Zir, asal
dari Kufah menerangkan tentang Umar sebagai:
Aku bersama orang Madinah pada
suatu hari raya, dan aku lihat Umar berjalan berkaki ayam. Beliau kelihatan
mendahului usianya, botak, warna kuning keperangan - orang bertangan kidal,
tinggi dan menonjol ketinggiannya dari yang lain.
Anak sulung Umar, Abdullah,
menerangkan tentang penampilan fizikal bapanya seperti berikut:
Beliau seorang lelaki yang
berkulit cerah, ternampak seri kemerah-merahan, tinggi, botak dan beruban.
Sejarahwan Salima bin al-Akwa'a
pula berkata tentang beliau:
Umar sangat bijak, beliau mampu
menggunakan kedua-dua tangannya dengan baik.
Ibn Asakir mencatatkan dari sanad
Abu Raja al-U'taridi yang:
Umar seorang lelaki yang tinggi,
gempal, sangat botak, sangat kemerah-merahan dengan sedikit rambut di pipi,
misainya besar dan hujungnya kemerahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan