Abu Bakar al-Siddiq (Bahasa Arab:
أبو بكر
الصديق Abū Bakr al-Siddīq) ialah
khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634. Beliau pada awalnya digelar
Abdul Kaabah (hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar
namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar (daripada
perkataan Arab Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar membiak
unta. Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan). Nama
sebenar beliau ialah Abdullah ibni Abi Quhafah.
KEHIDUPAN AWAL
Saidina Abu Bakar As-Siddiq
merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali dan jurai
salasilahnya adalah termasuk dalam Bani Taim iaitu sub keturunan dari Arab
Quraisy. Semasa Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Makkah ke Madinah pada
tahun 622, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah s.a.w. tanpa ditemani
oleh orang lain. Rasulullah S.A.W mengahwini anak perempuan beliau iaitu
Saidatina Aishah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku. Pernah
menjadi kaya, dia juga dikenangi kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang
beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal Bin Rabah.
Beliau juga merupakan salah seorang Muslim yang pertama sekali memeluk Islam.
Beliau seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang
terpuji. Dilahirkan 2 tahun selepas kelahiran Rasulullah S.A.W.
Beliau mendapat gelaran as-Siddiq
kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah S.A.W.
Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa
Isra dan Mi'raj yang telah dialami oleh Rasulullah S.A.W. Apabila orang ramai
mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu
tentang peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan
dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.
MENJADI KHALIFAH PERTAMA
Semasa Rasulullah s.a.w. sedang
sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat
orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis iaitu majlis
Syura', yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk
melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan
itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.
Perlantikan Saidina Abu Bakar
mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abu
Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan sepupu
Rasulullah s.a.w. Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani
Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar.Tentangan itu tamat selepas
Saidina Ali Abi Talib membaihkan Saidina Abu Bakar. Ada pendapat mengatakan
bahawa Saidina Ali Abi Talib hanya membaihkan Saidina Abu Bakar selepas enam
bulan.
Jalaluddin al-Suyuti dalam
karyanya al-Khulafa al-Rashidun ('Khalifah al-Rashyidun') menyatakan bahawa semasa
perjumpaan Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar orang Islam Ansar di rumah Sa'd
ibn Ubadah selepas kewafatan Nabi Muhammad (SAW), Sayidina Abu Bakar pada
mulanya mencadang dua calon sebagai Khalifah, yakni Sayidina Umar dan seorang
Sahabat lain, Abu Ubaidah ibn al-Jarrah. Perbincangan menjadi hangat
sehinggalah Sayidina Umar menyuruh Sayidina Abu Bakar menghulurkan tangannya
lalu Sayidina Umar mengambil tangan Sayidina Abu Bakar dan memberi bai'ah
kepadanya. Tindakan Sayidina Umar diikuti Muhajirin dan Ansar. Selepas mendapat
bai'ah, Sayidina Abu Bakar mencari az-Zubair dan Sayidina Ali yang tiada di
pertemuan itu. Kedua-dua mereka dipanggil dan memberi bai'ah kepada Sayidina Abu
Bakar apabila mereka tiba.
PEPERANGAN ISLAM-RIDDAH
Masalah mula timbul apabila
Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Masalah ini mengugat kestabilan
dan keamanan kerajaan Islam. Banyak puak-puak Arab memberontak dan menentang
khalifah. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat manakala ada pula
yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka.
Puak-puak ini mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah s.a.w.
dan memandangkan Rasulullah s.a.w. telah wafat maka mereka tidak perlu lagi
mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.
Saidina Abu Bakar menegaskan
bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah
mereka kini tergolong dalam golongan Muslim. Ada diantara mereka mendakwa
bahawa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan
murtad ini maka Saidina Abu Bakar melancarkan perang terhadap golongan yang
digelar golongan Riddah. Hal ini merupakan permulaan siri Peperangan
Islam-Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah
al-Kazzab. Namun Khalid Al-Walid berjaya menumpaskan Musailimah dalam pertempuran.
EKSPEDISI KE UTARA
Selepas berjaya mengurangkan
golongan riddah, Saidina Abu Bakar menghantar panglima-panglima perang Islam ke
utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi. Khalid Al-Walid
berjaya menawan Iraq dalam hanya satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh
kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria. Menurut seorang orientalis Barat,
kempen Saidina Abu Bakar hanyalah sebuah lanjutan daripada Perang Riddah. Hal
ini jelas salah memandangkan kebanyakan golongan riddah terletak di selatan
Semenanjung Arab dan bukannya di utara.
PENGUMPULAN AL-QURAN
Menurut ahli sejarah Islam,
selepas siri Peperangan Islam-Riddah ramai orang yang mahir menghafaz al-Quran
terbunuh. Saidina Umar Al-Khattab (khalifah yang berikutnya) meminta Saidina
Abu Bakar untuk mula menjalankan aktviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran.
Saidina Uthman Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan dengan
membukukan al-Quran, iaitu mushaf Uthmani, semasa beliau menjadi khalifah.
KEWAFATAN SAIDINA ABU BAKAR
Saidina Abu Bakar wafat pada 23
Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat
mengenai sebab kematian Saidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan
keracunan dan ada pula yang mengatakan Saidina Abu Bakar meninggal dunia secara
biasa. Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima
Saidina Umar Al-Khatab sebagai khalifah yang baru.
Saidina Abu Bakar dikebumikan di
sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid an-Nabawi yang terletak di
Madinah.
SUMBANGAN SAIDINA ABU BAKAR
Saidina Abu Bakar walaupun hanya
memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap
perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada
diantaranya murtad, tidak mahu membayar zakat dan ada diantaranya mengaku
sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan beliau juga
berjaya meluaskan pengaruh Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan