Pada waktu umat manusia dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah, lahirlah
seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah. Bayi yang dilahirkan
bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia. Bapa bayi
tersebut bernama Abdullah bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda
dilahirkan iaitu sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibu. Ibunya bernama
Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu disambut dengan penuh kasih sayang dan
dibawa ke ka'abah, kemudian diberikan nama Muhammad, nama yang belum pernah
wujud sebelumnya.
Selepas itu Muhammad disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba, budak
suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa'ad. Adat
menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di
Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin
Abi-Dhuaib yang pada mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad
seorang anak yatim. Namun begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke
pedalaman dengan harapan Tuhan akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya
Muhammad sebagai anak susuan, kambing ternakan dan susu kambing-kambing
tersebut semakin bertambah. Baginda telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan
sesudah itu Halimah membawa baginda kembali kepada Aminah dan membawa pulang
semula ke pedalaman.
Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada usia dua tahun, baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang
muncul sebagai lelaki yang berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk
membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya tidak menyedari akan
kejadian tersebut. Hanya anak mereka yang sebaya menyaksikan kedatangan kedua
malaikat tersebut lalu mengkhabarkan kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa
keadaan Muhammad, namun tiada kesan yang aneh ditemui.
Muhammad tinggal di pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima
tahun. Selama itu baginda mendapat kasih sayang, kebebasan jiwa dan penjagaan
yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang
kepada datuknya Abdul Mutallib di Makkah.
Datuk baginda, Abdul Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa
anaknya itu ke Madinah untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka ditemani
oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda.
Baginda ditunjukkan tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia dikuburkan.
Sesudah sebulan mereka berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk
pulang semula ke Makkah. Dia dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua
ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun
begitu, ketika mereka sampai di Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya
meninggal dunia lalu dikuburkan di situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang
sangat sedih. Maka jadilah Muhammad sebagai seorang anak yatim piatu.
Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia
melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia
memberikan petunjuk" (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda
berusia lapan tahun, datuk baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul
Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai
keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang bernas, terhormat dan berpengaruh
dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman kepada para
tetamu yang berziarah dan membantu penduduk Makkah yang dalam kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Selepas kewafatan datuk baginda, Abu Talib mengambil alih tugas bapanya
untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang mampu
berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling halus
dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy.Abu Talib menyayangi Muhammad
seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan budi
pekerti Muhammad yang mulia.
Pada suatu hari, ketika mereka berkunjung ke Syam untuk berdagang
sewaktu Muhammad berusia 12 tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian
yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut
menasihati Abu Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri
orang-orang Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda
tersebut. Abu Talib mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidaak banyak
membawa harta dari perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan
mengasuh anak-anaknya yang ramai. Muhammad juga telah menjadi sebahagian dari
keluarganya. Baginda mengikut mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar
sajak-sajak oleh penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk
Yahudi yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala
kambing keluarganya dan kambing penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan
merenung tentang kejadian alam semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu
baginda jauh dari segala pemikiran manusia nafsu manusia duniawi. Baginda
terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan
iaitu "Al-Amin".
Selepas baginda mula meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa
saudaranya untuk membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang
peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh
ikhlas dan jujur. Khadijah amat tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan
keupayaan baginda sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya
untuk berkahwin dengan Muhammad yang berusia 25 tahun ketika itu. Wanita
bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima
lamarannya lalu berlangsunglah perkahwinan mereka berdua. Bermulalah lembaran
baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah sebagai suami isteri.
Turunnya Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan
diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira'
dan sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib umat manusia pada zaman
itu. Maka datanglah Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya membaca ayat quran
yang pertama diturunkan kepada Muhammad.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96:
1)
Rasulullah pulang dengan penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh
Khadijah yang cuba menenangkan baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih,
diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian baginda mula berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan
kaum kerabatnya untuk mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah
yang menyembah berhala. Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang
mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama
yang beriman dengan ajaran baginda.Dakwah yang sedemikian berlangsung selama
tiga tahun di kalangan keluarganya sahaja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu memerintahkan baginda untuk berdakwah secara
terang-terangan, maka Rasulullah pun mula menyebarkan ajaran Islam secara lebih
meluas.
"Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang
diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik."
(Al-Hijr, 15:94)
Namun begitu, penduduk Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh
baginda. Mereka memusuhi baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa
saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak
saudaranya itu namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan
tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan
Rasulullah seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
"Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di
tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini,
aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala
penjuru atau aku binasa kerananya"
Baginda menghadapi pelbagai tekanan, dugaan, penderitaan, cemuhan dan
ejekan daripada penduduk-penduduk Makkah yang jahil dan keras hati untuk
beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima tentangan yang
sedemikian, malah para sahabatnya juga turut merasai penderitaan tersebut
seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima siksaan yang berat.
Wafatnya Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama
kaum Quraisy kerana baginda tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka
nanti. Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada
tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah jemu membantu
menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga
tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya
sejak kecil juga meninggal dunia. Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh
Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.
Hijrah Ke Madinah
Tekanan orang-orang kafir terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat
selepas kepergian isteri dan bapa saudara baginda. Maka Rasulullah mengambil
keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan ancaman daripada kafir Quraisy
untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Mereka
digelar kaum Muhajirin manakala penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan
Ansar. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan
sebuah negara Islam didirikan di bawah pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru dibina di Madinah mendapat tentangan daripada
kaum Quraisy di Makkah dan gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam
yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga menubuhkan sebuah
negara Islam yang mengamalkan sepenuhnya pentadbiran dan perundangan yang
berlandaskan syariat Islam. Baginda dilantik sebagai ketua agama, tentera dan
negara. Semua rakyat mendapat hak yang saksama. Piagam Madinah yang merupakan
sebuah kanun atau perjanjian bertulis telah dibentuk. Piagam ini mengandungi
beberapa fasal yang melibatkan hubungan antara semua rakyat termasuk kaum bukan
Islam dan merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan.
Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan dijadikan dasar undang-undang
Madinah.
Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek
pertahanan amat penting bagi melindungi agama, masyarakat dan negara.
Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk mempertahan dan
menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda ialah Perang Badar
(623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang
Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak semua peperangan diakhiri dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah dimeterai antara
penduduk Islam Madinah dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan itu, negara Islam
Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berjaya membuka semula
kota Makkah pada 630 M/9 H bersama dengan 10 000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang disertai oleh Rasulullah ialah Perang Tabuk dan
baginda dan pengikutnya berjaya mendapat kemenangan. Pada tahun berikutnya,
baginda telah menunaikan haji bersama-sama dengan 100 000 orang pengikutnya.
Baginda juga telah menyampaikan amanat baginda yang terakhir pada tahun itu
juga. Sabda baginda yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha Esa dan
kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam a.s.
Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang
paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak
akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu,
iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah."
Wafatnya Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal tahun 11
Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya sebagai rasul dan
pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan yang benar dan
menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan berkebolehan.
Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan