Soalan:
Salam ustaz, boleh saya tahu tentang hukum melakukan aqiqah terhadap anak yang
telah meninggal dunia?
Jawapan:
Berkenaan isu ini, perlu
dinyatakan sebagai permulaan bahawa ulama bersepakat (mahal ittifaq) berkenaan
isu anak yang disunatkan untuk dilakukan aqiqah padanya pada dua keadaan:
pertama seorang anak yang hidup selepas 7 hari kelahiran adalah digalakkan untuk
dilakukan aqiqah padanya tanpa perselisihan. Juga seorang anak yang meninggal
sebelum 4 bulan dalam kandungan tiada khilaf bahawa tidak perlu dilakukan
aqiqah padanya kerana ianya masih lagi belum ditiupkan roh (bernyawa).
Adapun seorang bayi yang meninggal
setelah tempoh 4 bulan dalam kandungan sehingga sebelum hari ketujuh setelah
dilahirkan adalah menjadi tempoh yang diperselisihkan pandangan dikalangan
fuqaha’.
Mazhab Maliki dan Hanafi
berpandangan tidak perlu dilakukan aqiqah kepadanya. Mereka berhujahkan
berdasarkan lafaz yang disebut jelas dalam hadis Samrah yang menyebut pemberian
nama, aqiqah dan dicukur bayi tersebut pada hari ketujuh.
Dari Samurah bin Jundab,
bahwasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tiap
tiap anak tergadai (tergantung) dengan ‘aqiqahnya yang disembelih untuknya pada
hari ke-7, di hari itu ia dicukur rambutnya dan diberi nama”. [HR. Abu Dawud
juz 3, hal. 106, no. 2838]
Imam
an-Nafrawi al-Maliki menyebut hadis itu
secara jelas menyebut kesemua perkara tersebut dilakukan pada hari ketujuh maka
bayi yang meninggal sebelum hari tersebut tidak perlu dilakukan aqiqah padanya.
Namun Mazhab Syafie dan Hanbali
pula berpandangan ianya disunatkan sejak bayi tersebut mula ditiupkan roh
padanya iaitulah bermula ketika tempoh kandungan 4 bulan. Ibnu Hajar al-Haitami
menyatakan ini kerana bayi yang meninggal sebelum tempoh 4 bulan adalah tidak
bernyawa maka ianya tidak akan memberi syafaat di akhirat kepada ibu bapa
tersebut. Berbeza pula dengan bayi selepas tempoh 4 bulan ianya dikira
bernyawa, perlu diuruskan seperti jenazah manusia biasa, akan memberi syafaat
kepada ibubapanya maka boleh dilakukan aqiqah keatasnya.
Juga banyak hadis yang menyebut
tentang aqiqah anak ini dinyatakan secara umum tanpa meletakkan sebarang
syarat.
Dari
‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya, dari kakeknya, ia berkata, Rasulullah SAW
bersabda, “Barangsiapa berkehendak untuk meng’aqiqahkan anaknya maka
kerjakanlah. Untuk anak laki-laki dua ekor kambing yang sebanding dan untuk
anak perempuan satu ekor kambing”. [HR. Ahmad juz 2, hal. 604, no. 2725]
Berdasarkan kedua pandangan
tersebut, ramai ulama masakini cenderung kepada pandangan kedua yang
mengharuskan kerana hadis Samrah tersebut menyebut tentang sunatnya melakukan
aqiqah pada hari ketujuh dan bukan meletakkan syarat hidup sehingga hari
ketujuh. Bermaksud sunat untuk dilakukan pada bila-bila masa dan apa keadaan
bayi tersebut namun yang lebih afdhal (terbaik) ialah dilakukan pada hari
ketujuh.
Kesimpulannya boleh dilakukan
aqiqah untuk bayi yang gugur atau meninggal dunia setelah dilahirkan asalkan
ianya telah berada lebih 4 bulan (ditiupkan roh) dalam kandungan ibu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan