Nabi Muhammad SAW berbangga
dengan ramainya umat baginda di hari akhirat kelak. Justeru, kelahiran bayi
adalah sesuatu yang perlu disambut dengan adab Islam sebagai permulaan terhadap
proses pembentukan mereka menjadi insan yang berguna. Sebagai nota ringkas adab
dan cadangan Islam untuk menyambut bayi.
1.
PENYAMBUT BAYI
Orang yang terbaik untuk
menyambut bayi ialah bidan atau doktor Muslimah. Sekiranya tiada, maka
keutamaannya boleh diserahkan kepada perempuan non-Muslim, seterusnya kepada
Muslim, dan akhir sekali kepada lelaki non-Muslim. Ini semua adalah merujuk
kepada fiqh aurat wanita di dalam Islam.
2.
PERSEKITARAN TEMPAT BERSALIN
Bilik bersalin adalah tempat si
ibu berjuang dengan nyawanya untuk melahirkan anak. Justeru, pastikan tempat
tersebut bersih. Selain itu, galakkan si bapa untuk berada sekali semasa
persalinan sebagai sokongan moral. Si bapa bolehlah memainkan peranan mengurangkan
kesakitan si ibu, dan juga membaca doa atau sekadar memasang alunan bacaan
al-Quran. Biar si ibu sentiasa teringat Allah, dan biarlah si bayi mendengar
kalam Allah sebagai kalimah pertama ketika mula mengunjungi alam dunia ini.
3.
MENGHEBAHKAN DAN UCAPAN TAHNIAH TANDA GEMBIRA
Adalah disunatkan untuk
menghebahkan kelahiran anak terutama kepada si bapa dan juga kepada kaum
keluarga dan rakan taulan. Dalam a-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita
mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan
menggembirakan atau memberitakan berita gembira [rujuk Ali Imran:39 dan
Maryam:7]
Abu Lahab adalah antara orang
yang amat gembira, bahkan memerdekakan hambanya Thuwaibah yang telah
memberitakan khabar kelahiran nabi Muhammad SAW.
Diriwayatkan dari Imam Bukhari
bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab
memerdekakan budak Thuwaibah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran
Rasulullah SAW.
Di dalam kitab Tuhfatul Maudud
karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa
tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini
adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:
بورك لك بالموهوب و شكرت الواهب و رزقت بره و بلغ اشده
Buurika laka bilmauhub, wa
syakarta al-Wahib, wa ruziqta birrahu, wa balagha ashuddahu.
“Moga
engkau diberkati dengan anugerah (kelahiran bayi) ini, dan bersyukur kepada
yang Maha Pemberi (Allah), dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia
(bayi) akan membesar (dewasa).”
Ibu dan bapa diajar untuk
menjawab:
بارك
الله لك
و بارك
عليك و
رزقك الله
مثله
Baarakalahu laka, wa baaraka
‘alaika, wa rozaqakallahu mithlahu
“Moga
Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan
rezeki seperti ini (mendapat anak juga).”
4.
AZAN DAN IQAMAT
Sejurus selepas kelahiran anak,
si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga
kanan dan iqamat di telinga kiri anak. Ini berdasarkan sepotong hadith riwayat
Abu Daud dan al-Tirmizi menyatakan yang nabi berbuat demikian ketika kelahiran
al-Hasan bin Ali. Ada yang mengkritik hadis ini kerana statusnya dho’if.
Akan tetapi Ibn al-Qayyim tetap
menggalakkannya kerana menurutnya biarlah si anak mendengar ucapan yang
membesarkan Allah, syahadah, serta seruan ke arah solat dan kejayaan sebagai
ayat-ayat pertama didengar di muka bumi ini.
5.
TAHNIK ANAK
Tahnik digalakkan selepas anak
itu dilahirkan. Orang Melayu biasa menyebutnya dengan istilah membelah mulut.
Caranya ialah dengan mengunyah tamar atau melumatkan tamar dengan jari, lalu
diletakkan tamar yang sudah lumat itu ke hujung jari, dimasukkan perlahan-lahan
ke mulut anak dan diratai tamar tadi ke seluruh bahagian lelangit bayi. Ketika
ketiadaan tamar, bolehlah digantikan dengan apa jua makanan lembut yang manis.
Hikmahnya ialah untuk menguatkan
gusi, urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu. Digalakkan
tahnik itu dilakukan oleh ibubapanya sendiri atau orang yang soleh supaya
berlaku aliran barakah [ khilaf ]. Pengulangan tahnik oleh beberapa orang di
masa yang berbeza juga tidak menjadi halangan.
Sunnah tahnik adalah berdasarkan
sepotong hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim. Dilaporkan Abu Musa r.a.
berkata:
“Aku
pernah mendapat seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah
SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnik dengan tamar, lalu didoakan
keberkatan kepadanya. Kemudian diserahkannya kepadaku.”
6.
MENCUKUR RAMBUT BAYI
Sunat dicukurkan rambut bayi
secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut
dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin.
Menurut Abdullah Nasih Ulwan di
dalam kitab Tarbiyatul Aulad, ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi.
Pertamanya, untuk menguatkan
kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan
panca indera berhampiran.
Keduanya, ialah hikmah sosial
iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.
Ini berdasarkan sepotong hadis
yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:
“Bahawasanya
Rasulullah SAW telah mengarahkan untuk mencukur rambut al-Hasan dan al-Husain
pada hari ketujuh mereka, rambut mereka telah dicukur, lalu disedekah
timbangannya dengan perak”.
Satu perkara yang perlu diberi
perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud
mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain
panjang. Contoh qaza’ ialah rambut punk. Ini berdasarkan sepotong hadis sahih
riwayat al-Bukhari dan Muslim :
“Rasulullah
telah melarang qaza’.”
7.
MEMBERIKAN NAMA ANAK
Ibu dan bapa disunatkan
memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh. Khilaf ini
berdasarkan hadis yang melaporkan Rasulullah memberi nama anak baginda dengan
nama moyang baginda Ibrahim sejurus selepas kelahirannya, sementara dalam hadis
yang lain Rasulullah memberikan nama al-Hasan dan al-Husein serta ramai yang
lain pada hari ketujuh.
Digalakkan untuk memberikan nama
anak dengan makna yang baik. Antara cadangannya ialah berdasarkan hadis riwayat
Abu Daud :
“Berikanlah
nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan
Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith (حارث)
dan Hammam (همام)
manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.”
Sebahagian ulamak menyatakan
bahawa sebaik-baik nama ialah nama yang dipuji seperti Ahmad, Muhammad, Mahmud
dan Hamadah, serta nama yang disembah seperti Abdullah, Abdul Basit, Abdul
Razak dan lain-lain.
Diharamkan memberi nama anak
dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama
Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya. Begitu juga memberikan nama yang
buruk maknanya.
Dimakruhkan memberi nama anak
sempena orang Islam terkenal yang fasiq. Dimakruhkan juga memberikan nama
dengan perkataan yang bombastik. Ini berdasarkan hadis nabi, antaranya :
“Orang
yang dimurkai Allah di hari Qiamat dan sangat dibencinya ialah seorang yang
dipanggil Malikul Malik (raja sekalian raja). Tiadalah raja yang memiliki
melainkan Allah.”
(Riwayat Muslim)
…Janganlah
engkau namakan anak dengan nama Yasar (yang sangat bertuah), Rabah (yang sangat
beruntung), Najih (yang sangat berjaya) atau Aflah (yang paling berjaya).
Kerana engkau akan tertanya nanti, betulkah anakku itu seperti makna namanya.
Sesungguhnya nama yang aku tegah itu empat sahaja, janganlah engkau tanya
banyak lagi.
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan
al-Tirmizi).
Contoh nama bombastik lain yang
turut dilarang (ulamak hanya sekadar memakruhkannya sahaja) ialah nama yang
disandarkan kepada Din atau Islam, seperti Izzuddin, Nuruddin, Salahuddin, Nasiruddin,
Muhyiddin, Saiful Islam dan lain-lain. Menurut Syeikh al-Albani, nama tersebut
dilarang kerana membawa kemegahan terlampau.
Adapun nama pejuang Islam seperti
Salehuddin al-Ayyubi, Nuruddin Zinki dan Izzuddin Zinki, sebenarnya itu semua
hanyalah nama gelaran sahaja. Nama sebenar mereka adalah berbeza.
Sunat juga dikun-yahkan nama anak
sebagai gelaran kita, contohnya sekiranya nama anak ialah Kifah, maka si bapa
digalakkan memakai gelaran Abu Kifah.
Antara hikmahnya menurut Abdullah
Nasih Ulwan ialah menghadirkan rasa hormat anak kepada si bapa serta beberapa
kesan psikologi yang lain. Yang disunatkan ialah kepada anak yang sulung. Boleh
juga si bapa menggelar dirinya dengan kun-yah nama lain, seperti Abu Bakar
al-Siddiq yang tiada pun mempunyai nama anak bernama Bakr serta Abu Hafs bagi
Umar al-Khattab yang tidak mempunyai anak bernama Hafs.
8.
AQIQAH
Secara literal, maksudnya ialah
memutuskan. Daripada sudut syara’, maksudnya ialah menyembelih haiwan untuk
anak yang dilahirkan kerana Allah. Hukum aqiqah adalah khilaf di kalangan
ulamak. Majoritinya termasuk mazhab Shafie menggalakkannya (sunat). Sementara
mazhab Hanafi pula tidak mewajibkannya.
Haiwan aqiqah juga menjadi khilaf
akademik ulamak. Majoriti menyatakan untuk anak lelaki, dua ekor kambing,
sementara anak perempuan seekor kambing. Sebahagian ulamak menyatakan menurut
zahir hadis, memadai anak lelaki itu aqiqah dengan seekor kambing sahaja.
Masa untuk aqiqah disunatkan pada
hari ketujuh. Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya
aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika
usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.
Makruh mematahkan tulang aqiqah.
Penyembelih dan pembantu digalakkan memotong haiwan aqiqah pada sendinya
sahaja. Sunatnya ialah untuk menzahirkan kesungguhan melalui kesempurnaan
anggota haiwan aqiqah ketika agihan, dan semoga anak itu mendapat barakah sihat
dan sempurna tubuh badan.
9.
KHITAN / SUNAT
Hukum khitan atau bersunat juga
adalah khilaf sama ada wajib atau sunat. Di dalam mazhab Shafie, Hanbali dan
Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya
untuk anak perempuan. Mengenai waktu berkhitan, digalakkan untuk melakukannya
sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran. Akan tetapi ianya boleh
dilaksanakan sehinggalah ke umur mukallaf. Berkhitan mempunya hikmah yang
pelbagai, antaranya ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian
anak.
10.
DOA
Anak-anak perlu dilihat sebagai
saham kita untuk masa hadapan. Ini kerana ketika kita meninggal dunia nanti,
doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri
kita. Justeru, janganlah putus daripada mendoakan anak kita menjadi anak yang
soleh. Doa yang terbaik ialah seperti yang diajar oleh Allah sendiri di dalam
surah al-Furqan ayat 74:
“Tuhanku,
kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku sesuatu yang menjadi penyejuk
mata, dan jadikanlah kepada imam kepada orang yang bertaqwa.”
Share dari
http://muis.org.my/2016/10/10-adab-menyambut-kelahiran-bayi-dalam-islam/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan